Wednesday, July 1, 2009

Asas Kewangan Peribadi siri 8 (sekolah rendah)

Instrumen simpanan anak-anak


Pada peringkat awal saya mempraktikkan perancangan simpanan untuk anak-anak ini, saya telah memasukkan ke dalam akaun di atas nama isteri kerana semasa itu anak saya hanya seorang. Apabila bilangannya bertambah menjadi dua, timbul persoalan pembahagian yang tepat dan tidak mengelirukan. Lalu isteri mencadangkan untuk memasukkan ke dalam tabung haji; alhamdulillah di tabung haji kita boleh membuka akaun atas nama anak-anak walaupun baru berusia seminggu dengan ibu atau bapa menjadi pemegang amanah. Sementelah biasanya sempena kelahiran baru kita menerima bermacam-macam hadiah dan duit dari rakan-rakan meraikan kelahiran baru!. Jika mereka memberi pilihan tunai atau barangan, saya lebih suka tunai dari barangan kerana kadang-kadang kita menerima 2 hingga 3 jenis barangan serupa.

Selepas itu barulah PNB memperkenalkan skim ASW yang terbuka untuk kanak-kanak 1 bulan keatas. Dan saya telah membuka setiap anak saya satu akaun. Rancangan saya ialah apabila mereka mencapai usia 18 tahun saya akan memindahkannya ke ASB kerana ASB selalunya memberi pulangan yang lebih baik.

Oleh kerana simpanan anak-anak lebih bersifat jangka panjang, seharusnya kita menumpukan kepada tabungan yang memberi pulangan maksima. Jawapan yang terbaik ialah skim yang di uruskan oleh PNB. Perlu di ingat, dari masa ke semasa simpanan ini akan ditambah dan bertambah terutamanya selepas musim hari raya, musim cuti sekolah, musim kenduri, selepas harijadi. Sebab itu tidak mustahil jumlah simpanan anak saya mencecah Rm 10,000 menjelang umurnya 10 tahun! Dan saya akan pastikan jumlah ini adalah asas untuk dia menjadi jutawan selewat-lewatnya umurnya 35 tahun.

Setelah melalui zaman persekolahan, selain punca simpanan dari musim-musim di atas, setiap minggu atau bulan, anak-anak akan mempunyai tabung 1 yang mesti di masukkan ke akaun ini dari masa ke semasa.

Teruskan usaha ini sambil menerapkan nilai-nilai murni menyimpan dengan betul sehingga ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya universiti dan bekerja. Apalah salahnya nanti sekiranya umur saya panjang saya akan sentiasa bertanya, dah berapa banyak simpanan jangka panjang anak-anak saya sekadar untuk memastikan mereka berada di landasan yang betul; lebih baik dari ayahnya. Kegembiraan mereka, kegembiraan ibubapanya, kesengangan mereka kesenangan ibubapa mereka juga, sekurang-kurangnya tidak mengecek duit kita yang kita ingin laburkan pula untuk bekalan di akhirat kelak.

Kesimpulannya, pilihan instrumen simpanan:-

1. Tabung PNB seperti ASW,ASM,ASD,ASB,ASN- memberi pulangan di antara 5% hingga 9%
2. Tabung Haji- pulangan di sekitar 4%-6%
3. Saham-saham seperti Bank Rakyat, Bank Persatuan,Koperasi yang berjaya- sehingga kini berupaya memberi pulangan antara 10% - 15% namun jumlah saham adalah terhad dan minimal.

Bagaimana pula skim amanah saham unit trust?

Amanah saham unit trust membawa risiko yang sederhana tinggi walaupun pada masa yang sama berpotensi memberi pulangan yang tinggi, mungkin sehingga 20% setahun.
Sekiranya tahap pengambilan risiko saudara adalah rendah, lebih baik simpan di instrumen di atas yang menjanjikan kapital terjamin.

Sekiranya tahap pengmbilan risiko saudara boleh diterima pakai, sebaiknya tidak melebihi 30% dari jumlah simpanan dan pastikan saudara mempunyai sasaran beli dan jual yang saudara wajib patuhi. Kenapa 30%?, kerana dengan jumlah sekecil ini jika menjana 20% setahun, jumlah pulangan akan menyamai simpanan selamat yang memberi pulangan yang sama pada separuh masa yang diperlukan. Maksudnya jika meyimpan rm 10,000 memerlukan 30 tahun untuk mencecah 100,000, pada simpanan 3,000 dan pulangan 20% setahun ia mengambil masa 20 tahun sahaja. Di penghujung tahun 30, jumlah simpanan mencecah RM500,000 jika berjaya mengekalkan pulangan 20% ini. Namun begitu sekiranya berlaku sebaliknya, hanya 30% sahaja yang terlibat dan ianya masih dalam julat yang boleh di terima akal dan emosi.

Malah saya mempraktikkan teknik ini juga. Saya yakin mereka akan menjadi jutawan dengan disiplin yang mudah ini.

Dr Azman
2/7/09
BKT NAGA 13:58pm

p/s: Hari ini hari jadi saya dan anak saya amira aida iman yang ke 10

No comments:

Post a Comment