Wednesday, October 21, 2009

antara pengetahuan dan ego bapa

Baru-baru berjumpa dengan seorang bapa dan bercerita mengenai keperluan mengajar perancangan kewangan yang baik kepada anak-anak. Dalam banyak waktu, dia mengiayakan apa yang saya war-warkan bahawan penting untuk kita merancang dan mengajar mereka menyimpan walau sedikit tetapi berterusan. Dalam dia menyetujui pandangan saya ada juga dia memberikan komen-komennya.

Terlalu Muda. Katanya masih terlalu awal untuk menerapkan kawalan dan perancangan kewangan untuk peringkat bawah 12 tahun, jadi biarlah mereka berbelanja kerana ibubapa masih mampu memberi. Jika di sekat kemahuan mereka, nanti akan memberi impak negatif seperti merajuk, malas belajar dan sebagainya. Juaga untuk mengelakkan konflik anak-bapa, biarlah mereka berbelanja apa saja, maksudnya kalau perlu seringgit beri seringgit, kalau perlu lima ringgit beri lima ringgit. Katanya lagi, sebagai kanak-kanak apa sahajalah yang mampu dan ingin dibeli oleh mereka yang tidak mampu diberi.

Tidak memahami maksud perancangan kewangan peribadi: Katanya pada tahap pemikiran kanak-kanak bawah 12 tahun, hendak merancang sesuatu yang sepuluh sen atau seringgit terlalu kecil impaknya. Sukar juga bagi mereka untuk melihat 20 hingga 4o tahun akan datang. Jelasnya lagi, bila dah mempunyai gaji barulah penerapan ini di buat dan lebih memberi impak yang ketara.

Ibubapa kelihatan kedekut apabila cuba mengawal perbelanjaan anak-anak mereka.

Namun....

Pepatah mengatakan 'melentur buluh biar dari rebung' sangat sesuai di gunakan untuk anak-anak kita. Jika kita tidak melentur dari hari pertama kita memberi mereka elaun makan harian di darjah satu lagi, bila lagi harus kita menerapkan nilai-nilai perancangan kewangan yang baik. Adakah ini bermakna kita lebih menjurus kepada materialistik kerana menjadikan ia sesuatu yang penting untuk di beri perhatian?. Bukankah kita semua sedar bahawa apa jua pelajaran yang di beri kepada anak-anak kita di peringkat sekolah rendah adalah asas kehidupan mereka dan secara tidak langsung input asas merancang perbelanjaan dan konsep asas menyimpan harus diterapkan pada peringkat awal dan bermula dengan sepuluh sen sebelum menjadi seringgit, seratus, seribu dan sejuta ringgit?

Saya melihatnya sebagai ego ibubapa yang merasakan mereka mampu untuk menyara kehidupan anak-anak mereka dan iltizam untuk memberi yang terbaik termasuk memberi apa jua yang diminta, berapa jua yang diminta. Akhirnya anak-anak ini tidak menghargai nilai-nilai wang ini kerana ia terlalu mudah untuk didapati dan yakin bahawa ibubapa mereka akan sentiasa berkorban dan tidak kisah jika terkorban demi memenuhi kehendak material mereka.

Apabila tiba masa yang sepatutnya mereka harus belajar merancang kewangan sendiri itu, maka ibubapa menyedari bahawa mereka telah terlewat kerana anak-anak mereka terlalu bergantung hidup dengan mereka hatta saban waktu mengecek wang belanja walaupun telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Di kala itu mungkin dia akan teringat bicaranya dengan saya pada hari itu......


Salam ingatan bahawa Allah Maha Kaya dan Memiliki segala Kekayaan Alam Semesta ini.


Dr Azman

JK 12.06pm

No comments:

Post a Comment