Sunday, May 24, 2009

Kesilapan adalah Pengajaran

Ada orang mengatakannya " kesilapan" dalam hidup. Itu yang saya katakan dahulu; satu 'kesilapan' dalam kehidupan. Setelah saya lebih berilmu, saya katakan sebagai 'pengajaran' dalam melalui cabaran hidup untuk menjadikan kita lebih bijak dari semalam.

Ini pengalaman saya, satu 'kesilapan' keputusan dan menjadi 'pengajaran' yang sangat mahal harganya.

Di sekitar tahun 2000, saya di datangi oleh kenalan yang saya tahu memang berkecimpung dalam dunia hartanah. Apabila berjumpa, dia menawarkan sebuah rumah apartmen yang ok dan tawaran yang menarik. Tandatangan pembelian sahaja dan semuanya akan di uruskan. Deposit hanya Rm 100, itupun untuk membuka akaun bank bagi tujuan pembayaran secara autodebit. Tawaran nampak menarik dan mudah kerana pada tahun 2000an, bank sangat mudah meminjamkan wang kepada sesiapa sahaja. Lalu, saya tandatangan dan tugas selesai, malah tidak perlu ke bank untuk tandatangan perjanjian kerana semuanya telah di uruskan di pejabat saya sahaja. Mudahkan.

Tetapi tidak semudah itu.

Projek terbengkalai walaupun apartmen saya siap sepenuhnya tetapi keseluruhan projek gagal, CF tidak dapat dikeluarkan, malah siasatan lanjut menunjukkan status tanah belumpun ditukar dari tanah pertanian ke tanah bangunan.

Akibatnya....

Saya terpaksa membayar juga kepada bank kerana 95% pinjaman telah dikeluarkan oleh bank membayar pemaju tersebut.

Pengajarannya adalah....

1. Pemaju.

Membeli rumah dari pemaju yang tidak terkenal meninggikan risiko kita. Pemaju tidak terkenal tidak kisah jika syarikat bangkrap kerana mereka boleh membuka banyak lagi syarikat seumpamanya.
Pemaju yang dikenali atau yang disenarai di Bursa Malaysia lebih cenderung untuk memastikan projek berjaya kerana ia sangat berkait rapat dengan reputasi dan harga saham mereka. Dengan itu pembelian lebih selamat. Walaupun ada juga pemaju yang terkenal 'bungkus' juga, namun jumlahnya tidak besar.

2. Harga Melampau

Pemaju memperkenalkan harga melampau untuk mengabui pembeli dengan slogan "Pembiayaan 110%" dan "deposit RM 500 sahaja". Harga melampau ini menunjukkan pemaju tidak memeberikan nilai sebenar harta tersebut, contohnya nilai hartanah adalah RM 100,000 tetapi pemaju meletakkan nilai hartanah ialah RM 120,000 supaya pembeli mendapat pembiayaan penuh walaupun pembiayaannya adalah 90%. Apa yang berlaku selepas itu, nilaian hartanah sebenarnya adalah jauh lebih rendah jika kita ingin menjual semula hartanah tersebut dalam waktu terdekat dan kita terpaksa membayar lebih kepada pihak bank.
Bayangkan di mana harta yang saya beli pada harga RM 170,000 tidak ada nilai kerana projek yang tidak siap dan bank telah membayar sejumlah RM 145,000 kepada pihak pemaju dan saya terpaksa membayar bulanan RM 1100 sehingga 22 tahun. Pengajaran ini sangat menyusahkan dan terlalu mahal.
Kebanyakan pemaju terkenal tidak mengamalkan kaedah ini dan sekiranya ini berlaku, fikir-fikirkanlah akan muslihat pemaju seperti ini. Mungkin mendatangkan kesukaran yang panjang untuk kita.

3. Ilmu

Saya mengakui semasa pembelian itu berlaku saya memang tidak mempunyai ilmu yang mencukupi, tidak mengikuti seminar hartanah, tidak membaca buku kerana saya merasakan saya sudah cukup bijak. Malangnya keegoan saya menjerumuskan saya kepada satu pengajaran yang sangat mahal.
Sebelum membeli dan mengambil bahagian dalam jual beli hartanah walaupun untuk kediaman sendiri, isilah dada dengan ilmu yang banyak dengan membaca, berbincang dan mengikuti seminar. Modal mungkin di antara RM 20 hingga RM 500 tetapi ia akan menyelamatkan RM 100,000 hingga RM 500,000 kita. Saya tahu sebab saya mengalaminya.

4. Bermusyawarah

Bermusyawarah dengan siapa?. Saya mohon jika yang telah berumahtangga bermusyawarahlah dengan ahli keluarga, suami atau isteri atau ibu bapa. Lebih keberkatan dan mengurangkan risiko kerugian.


Walaupun ini cerita 'saya', saya yakin ramai yang telah mengalaminya dalam kehidupan mereka. Nasihat saya, terimalah ia sebagai pengajaran walaup pahit dan sukar manapun. Jika satu hartanah, mungkin masih tidak memudaratkan, tetapi jika 3?. Agak sukar juga untuk menterjemah dan melaluinya.
Nasihat lain hendaklah memperilmukan diri kita dengan ilmu yang baik dan benar.

Bagi mereka yang masih belum terperangkap dalam 'janji manismu' promoter pemaju perumahan, berhati-hati lah. Kurangkan kesilapan besar dalam hidup. BACA BUKU, HADIRI SEMINAR kerana ilmu yang baik tidak pernah merugikan.

Selamat berjaya

Azman
JK 13:55pm
25/05/09

No comments:

Post a Comment