Monday, June 8, 2009

Asas Kewangan Peribadi siri 3(Sekolah Rendah)

Isu: Kedekut atau Mengajar?
Kebanyakan anak-anak kita di sekolah rendah diberi amaun elaun harian yang berbeza-beza. Berapakah amaun yang sepatutnya, berapakah amaun minima dan berapakah amaun yang melampau? Berapa pun amaun adalah hak ibubapa yang memberi mengikut kemampuan masing-masing.

Tetapi berapa ramai yang mengkaji adakah jumlah amaun yang diberi anak-anak mereka mencukupi, kurang atau melebihi malah mungkin keterlaluan.

Kenapa?

Dalam pengurusan kewangan yang baik, perbelanjaan mestilah berhemah, munasabah dan bersederhana. Sekiranya sehari hanya memerlukan RM 5.00, kenapa perlu memberi mereka RM 10.00, malah RM 6.00 pun sudah di kira sebagai pembaziran.

Contoh pengiraan mengikut standard sekolah di Shah Alam yang saya merasakan tidak banyak bezanya di semua sekolah bandar di Malaysia. Mungkin lebih murah di sekolah luarbandar, mungkin sangat mahal di sekolah swasta.

Air satu gelas RM 0.50
Nasi Lemak RM 1.00
Mee RM 1.00
Burger RM 1.20
Kuih RM 0.30

Sampai sekolah membelanjakan RM 1.50( air + mee)- andaikan tak sempat sarapan/makan
Waktu rehat membelanjakan RM 1.50( air + nasi lemak)
Waktu balik membelanjakan RM 1.50( air + kuih + aiskrim)

Jumlah RM 4.50, masih berbaki RM 0.50

Tidaklah saya bermaksud untuk menyekat amaun yang perlu untuk anak-anak orang lain, tetapi biarlah ia berpatutan.

Bagaimana hendak mengetahui amaun yang sesuai?

Datanglah ke kantin sekolah anak kita dan tanya-tanyalah harga makanan di kantin tersebut ataupun bertanya dengan anak kita harga makanan dan apa yang mereka selalu beli pada waktu-waktu tersebut. Sekiranya amaun dan makanan yang dibeli munasabah, maka jumlah amaun yang telah dipersetujui hendaklah dipatuhi oleh si anak dan si bapa untuk sepanjang tahun itu.

Anak saya bersetuju hanya berbelanja RM 2.00 sehari dan membawa air dari rumah. Pada peringkat awal selalu dia membawa bekal untuk waktu rehat. Pada waktu dia tidak membawa bekal, saya selalu bertanya cukupkah dengan Rm 2.00 tersebut dan jawabannya adalah cukup, maka saya menyakininya. Cuma saya hairan kenapa ibubapa lain mengatakan anaknya berbelanja sehingga lebih Rm 5.00 sehari! Harap-harapnya mereka tidak membeli sesuatu yang tidak berfaedah.

Sekiranya permintaan anak-anak keterlaluan, maka beritahulah mereka dengan mengajar bahawa pembaziran adalah amalan yang tidak baik. Membazir dan Berhemah berbelanja adalah dua perkara yang sangat berbeza sama sekali. Andainya kita dapat mengajar anak-anak kita berbelanja dengan berhemah, saya yakin hidupnya tidak akan susah atau terperangkap dengan kemelut kewangan. Jika RM 5.00 cukup kenapa kita hendak manjakan mereka dengan Rm10.00?.

Setiap sen adalah satu nilai yang bernilai. Apabila semakin dewasa, setiap sen mereka adalah hasil usaha mereka sendiri, bukannya pemberian percuma dari ibubapa. Nilai inilah yang ingin kita semai dalam sistem pengurusan kewangan peribadi mereka supaya mereka lebih bersedia dan makmur.

Oleh itu, tidak ada persoalan samada kita kedekut kerana apa yang kita ajar mereka hari ini akan menjadi sangat berguna kemudian hari.

Sesuatu yang pasti, mereka tidak akan menyusahkan kita di kemudian hari.

Sehingga siri seterusnya


Dr Azman
JK 10:38am
9/6/09

No comments:

Post a Comment