Friday, June 19, 2009

Asas Kewangan Peribadi Siri 6(Sekolah Rendah)

Anak orang miskin dan anak orang kaya


Anak orang miskin

Adakah anak orang miskin tidak mampu untuk menjadi kaya dan tidak boleh merancang kewangan mereka sendiri? Saya sentiasa yakin sesiapa pun boleh melakukannya asalkan mendapat dorongan, tunjuk ajar yang betul dan teknik yang sesuai. Mereka pun ada duit poket untuk belanja sekolah juga, mungkin tidak semewah anak orang kaya. Kalaupun mereka tidak membawa duit poket kerana membawa bekalan makanan dari rumah, banyak lagi kaedah-kaedah yang boleh kita ajar mereka untuk mendapatkan duit tambahan tanpa menjejaskan pelajaran mereka.


Walaubagaimanapun saya tidak bersetuju dengan pihak-pihak yang menggunakan kaedah di mana menggunakan beberapa kanak-kanak kecil menjual kalendar, minyak gosok di sekitar stesen minyak atas tiket beramal pada pukul 11.00 mlm! Pada saya itu sudah keterlaluan walaupun atas niat yang baik untuk mengajar mereka berusaha, berniaga dan beramal.

Berbalik kepada topik kita ini, katakan anak orang miskin hanya diberi duit poket atau elaun sebanyak RM 1.00 sehari. Dia masih boleh menyimpan 20 sen sehari, 1 ringgit seminggu dan 4 ringgit sebulan dan 40 ringgit setahun. Memanglah tidak banyak tetapi yang 'banyak' ialah budaya dan disiplin yang kita semaikan kepada mereka dan nilainya adalah mereka ini akan menjadi jutawan lebih dari anak seorang jutawan. Saya yakin yang ini.

Dari segi jatidiri anak orang miskin sedar akan situasi ibubapa mereka yang serba miskin lalu mereka tidak akan meminta yang bukan keperluan. Malah kebanyakan dari mereka akan menyesuaikan diri mereka dengan makan apa yang ada, mewarisi baju-baju abang mereka, berjimat dalam belanja, berusaha mencari sumber kewangan lain selain terus belajar seperti orang lain. Kesemua ini adalah sifat-sifat positif yang perlu, cuma apabila mereka dewasa amalan ini tidak terus diterapkan kerana sebenarnya mereka tidak menyedari kerana tiada sesiapa yang memaklumkannya. Pada mereka, sifat ini adalah sikap untuk mandiri atau 'self survival' bukannya sebagai ciri-ciri yang perlu di teruskan. Apabila tidak lagi berada dalam situasi 'self survival' ciri-ciri baik akan hilang dan di ganti dengan ciri-ciri baru yang mengikut emosi.

Anak orang kaya

Kehidupan anak orang kaya cukup mudah kerana semua kehendak dan keperluan hanya perlu di minta malah elaun harian pun boleh di tawar menawarkan. Dua ringgit tidak mencukupi, ayah boleh beri lima ringgit malah anak minta lima ringgit, ibubapa pula menyuruh anak-anak mengambil sepuluh ringit atas alasan belanja lebih sikit. Mereka tidak pernah merasai kesukaran, kesempitan dan mempunyai persepsi nilai kepada wang yang rendah kerana wang sangat mudah dengan hanya meminta.

Oleh sebab itu, ibubapa perlu memainkan peranan yang besar mendidik hal ehwal perancangan peribadi mereka dari mula kerana ia tidak diajar di sekolah. Pastikan setiap satu ringgit di beri, 20% adalah untuk simpanan samada ianya elaun harian, upah atau hadiah atau pemberian. Selain untuk di bazirkan dengan segala CD game, downloading games apa lagi yang mereka ingin belanjakan kerana makan dan pakai semuanya mencukupi.

Beringatlah yang kaya adalah ibubapanya, yang mempunyai pekerjaan hebat adalah ibubapanya dan yang menanggung risiko adalah ibubapanya. Apabila roda kehidupan masih cerah, semuanya akan kelihatan sempurna lalu bagaimana pula persediaan menghadapi mendung, kegelapan dan petir kehidupan yang dinamakan kesukaran.

Bersedialah dengan memberi satu-satunya ciri jutawan tulen iaitu ilmu yang cukup dan benar.


DR Azman
JK 18:33pm
19/6/09

No comments:

Post a Comment