Thursday, June 11, 2009

Asas Kewangan Peribadi Siri 4(Sekolah Rendah)

Antara Keperluan dan Kehendak

Seringkali kita sebagai ibu bapa kalah kepada pujuk rayu anak-anak kita untuk membeli barangan yang mungkin kurang berfaedah bagi mereka malah mungkin membazir.

Bagaimana hendak membezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak. Bagaimana hendak mengatakan tidak pada masa yang sama tidak mahu di label sebagai ibubapa yang kedekut.

Dalam peringkat umur di bawah 7 tahun, hampir semua kehendak anak kita akan kita patuhi. Hasilnya bermacam-macam jenis permainan boleh kita dapati di dalam rumah kita. Sukar bagi kita untuk menolak keinginan mereka walaupun kewangan kita tersepit antara kehendak mereka dan keperluan kita.

Setelah menjangkau umur persekolahan, sebaiknya persepsi mereka harus diubah sebagai satu peringkat yang lebih maju, lebih matang. Dulu belum sekolah, sekarang sudah sekolah malah sudah ada elaun peribadi, oleh itu harus menerima tanggungjawab tersebut melainkan ibubapa sendiri yang masih masih berpegang kuat untuk memegang tanggungjawab itu sepenuhnya. Dan saya merasakan ia kurang tepat kerana sebagai ibubapa kita harus menyediakan struktur peribadi yang baik kepada anak-anak kita dengan melatih mereka memegang tanggungjawab dengan baik.

Harus di jelaskan peraturan-peraturan asas kewangan peribadi mereka dan tanggungjawab mereka dan tanggungjawab ibubapa.

Tanggungjawab ibubapa:-

1. Menyediakan elaun harian secukupnya
2. Menyediakan keperluan asas tempat tinggal, makanan dan pakaian
3. Menyediakan keperluan asas persekolahan seperti baju, buku, perjalanan selamat, kos lain-lain persekolahan, tuisyen
4. Memberikan kasih sayang sepenuhnya
5. Mendengar, melihat dan menasihat

Tanggungjawab anak-anak:-

1. Bersyukur mempunyai ibubapa yang menyayangi mereka dan mendoakan mereka
2. Menggunakan elaun harian dengan baik
3. Merancang perbelanjaan harian
4. Menyimpan apa yang patut disimpan
5. Tidak meminta yang tidak sepatutnya
6. Menyusahkan ibubapa dengan permintaan melampau
7. Berbincang dengan ibubapa

Dengan elaun harian sediakan garispanduan apa yang boleh dibeli dan apa yang masih menjadi tanggungjawab ibubapa dan barangan apa yang jarus di beli dari simpanan tabung 2 mereka.

Masih tanggungjawab ibubapa:-

1. Pakaian, Makanan, Buku, set geometri, alat tulis lain, majalah ilmiah, tengok wayang, belanja makan

Elaun harian digunakan untuk

1. Beli makanan dan air di sekolah

Tabung 2 dan simpanan dari baki elaun harian

1. Apa sahaja yang ingin di beli asalkan mencukupi seperti CD game, DVD, buku komik

Tabung 1

1. Jangan di usik!

Saya yakin apabila kita memperjelaskan matlamat yang ingin kita mahukan dari pengurusan kewangan begini, kita akan dapat menyakinkan anak-anak kita bahawa kita bukanlah seorang yang kedekut tetapi kita memberi mereka satu ilmu yang sangat berguna untuk diri mereka sendiri yang membolehkan mereka menjadi jutawan kelak. Kebiasaan ini akan terus ditanam dalam diri mereka walau di mana mereka berada.


Dr Azman
JK 11:42am
12/6/09

No comments:

Post a Comment